Tuesday, 8 May 2012

Sesungguhnya cinta itu berbilang fasanya. Saat mula mengenal cinta, segala perasaan yang tidak terbayangkan menerjah ruang hati dan minda. Sesaat rasa indah, sesaat rasa gundah, sesaat lagi rasa resah. Dulu, kala diri menginjak dewasa ,kusangka kutahu segala mengenai diri ini ,namun rupa-rupanya ada sebelah lagi jiwa yang meronta untuk diteroka dengan kehadiran insan yang bernama sang pencinta .

Ahh...cinta juga berubah dengan masa. Terkadang terasa ia sebuah perjalanan yang penuh dengan ranjau durinya yang tersendiri. Kembara kisah hati memang indah dan nikmatnya juga melimpah. Tidak selalu perasaan gejolak cinta itu menerjah , tidak juga ia jarang berlaku ; yang selalu terjadi adalah perasaan sepi yang bertapa di sanubari .  Ombak dan geloranya pula, hanya Tuhan yang tahu. Tiada penawar rindu paling ampuh kecuali sebuah pertemuan dengan sang kekasih hati.

Gratis? Tiada yang percuma. Berkolam air mata dan berkarat sakit hati di sepanjang kembara cinta itu. Apatah lagi bila berkembara sebagai sang isteri. Maaf, kami isteri sejujurnya adalah karyawan emosi. Terkadang bisa itu hilang hanya dengan sekuntum senyuman. Acap kali pula rasa hiba pergi hanya dengan menyembah Yang Maha Esa . Tahajud di sepertiga malam, menyendiri mengadu dengan sendu yang sayu. Sesungguhnya segala yang terpalit di hati hanya Yang Maha Kuasa dapat memadamkannya kerana Dia yang mengurniakan rasa cinta itu, maka Dia jua yang berkuasa menariknya kembali dari lubuk hati.

Sabar ...adalah benteng cinta yang terampuh. Memang payah tapi aku pasrah demi hidup atas nama Allah yang maha Esa.

Doa adalah bekalan keramat kembara cinta. Kerana pada Dia aku berharap dan kerana Dia aku menjalani kembara cinta ini.

Sesungguhnya jika insan itu tidak pernah kenal erti cinta ketuhanan maka apalah sangat pendakiannya dalam kembara cinta manusia. Jangan percaya kata-kata cinta yang penuh misteri dan manipulasi...bagai memegang setangkai mawar.....hati-hati...mawar yang merah menggiurkan pasti ada banyak duri yang sedia mencucuk jari .

Semoga kembara cinta ini menjadi semakin suci dan murni seiring cintaku pada Illahi dan Nabi.

No comments:

Post a Comment